Aktres televisyen popular Divya Bhatnagar disahkan meninggal dunia pada usia 34 tahun akibat COVID-19 di sebuah hospital di Mumbai pada Isnin.

Difahamkan aktres yang terkenal menerusi drama "Yeh Rishta Kya Kehlata Hai" itu turut menghidap tekanan darah tinggi dan terpaksa menggunakan alat pernafasan selepas dikejarkan ke hospital pada 26 November lalu.

Namun begitu, bukan kematian Divya sahaja yang mengejutkan ramai, tetapi juga pendedahan tentang suami, Gagan Gabru, dan kemelut rumah tangga yang dihadapi sebelum kematiannya.

Perkara itu dimaklumkan oleh adik Divya, Devashish Bhatnagar yang memaklumkan keluarganya akan memfailkan kes terhadap Gagan kerana melakukan penderaan terhadap Divya selepas menjumpai nota yang ditinggalkan.

"Gagan mula mendera Divya secara fizikal dan mental selepas mereka berkahwin. Dia telah menulis nota pada 7 November, yang menyatakan Gagan telah menyeksa dan menderanya. Kami menjumpai nota itu di dalam almarinya.

"Dia juga pernah memfailkan laporan polis pada 16 November terhadap Gagan, susulan penderaan domestik. Saya memberitahunya untuk tabahkan diri ketika dia dirawat di hospital," katanya yang dipetik dari India Today.

Dalam pada itu, rakan baik Divya yang juga aktres Devoleena Bhattacharjee berkongsi sebuah video menyayat hati di laman Instagram miliknya bagi mendedahkan butiran mengejutkan tentang rumah tangga Divya dan Gagan.

Menerusi video itu, Devoleena mendakwa Divya hidup merana akibat masalah rumah tangganya sehingga emosinya terganggu. Katanya lagi, selain mendera, Gagan turut mencuri barang kemas milik Divya.

Selain itu, Gagan dikatakan berkahwin dengan Divya hanya semata-mata untuk mendapatkan publisiti walaupun hubungan mereka tidak direstui oleh ibu bapa Divya sejak awal lagi.

A post shared by Devoleena Bhattacharjee (@devoleena)

(Sumber foto: Divya Bhatnagar Instagram)