Dua lelaki yang tertuduh dalam kes melibatkan aktres Rhea Chakraborty berhubung kematian aktor Sushant Singh Rajput, iaitu Zaid Vilatra dan Abdel Basit Parihar, menarik semula keterangan mereka yang dibuat di Biro Kawalan Narkotik (NCB).

Terdahulu, Zaid dan Abdel serta enam lagi individu termasuk adik Rhea iaitu Showik Chakraborty telah ditahan kerana didakwa terlibat dengan jual beli dadah jenis ganja seperti yang diarahkan oleh aktres tersebut.

Difahamkan peguam kedua-dua tertuduh, Taraq Sayyed, meminta mahkamah majistret Mumbai membebaskan mereka dengan ikat jamin, serta menegaskan bahawa mereka dipaksa membuat penerangan yang akhirnya diputar belitkan oleh agensi siasatan.

"Kami telah failkan permohonan yang mana mereka telah menarik semula keterangan dan meminta mereka dibenar ikat jamin. Ini adalah kesalahan yang boleh diikat jamin.

"Tambahan lagi, kadar bahan narkotik yang terbabit adalah dalam kuantiti yang sedikit, yang melayakkan tertuduh untuk diikat jamin," ujar Taraq yang dipetik dari Hindustan Times.

Walau bagaimanapun, mahkamah majistret telah menolak rayuan Taraq dan memindahkan rayuan ikat jamin itu ke mahkamah khas yang ditubuhkan bagi mengendalikan kes-kes di bawah Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS).

Sehubungan dengan itu, mahkamah khas telah menetapkan perbicaraan kes Zaid dan Abdel akan disambung pada Khamis. Sehingga kini, kes Rhea masih berada dalam siasatan Biro Siasatan Pusat (CBI) dan Biro Kawalan Narkotik (NCB).

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Indian Express)