Baru-baru ini aktes Sanya Malhotra mengumumkan mengenai filem terbaru lakonannya berjudul "Pagglait" tanpa mendedahkan sebarang butiran lanjut.

Kini segala persoalan telah terjawab apabila penerbit terkenal Ekta Kapoor memberitahu filem itu merupakan hasil kerjasamanya dengan penerbit dan pemenang anugerah Oscar, Guneet Monga.

"Guneet merupakan salah seorang individu yang paling relevan dalam industri filem India pada masa kini.

"Apabila saya mendengar mengenai konsep filem ini, saya tahu kami perlu sama-sama jayakannya," ujar Ekta yang dipetik dari Pinkvilla.

Ekta telah membuat pengumuman tersebut pada Khamis, bersempena dengan hari ulang tahun kelahiran Guneet, yang memenangi anugerah Oscar atas dokumentarinya berjudul "Period: End Of Sentence" tahun lalu.

"Kami berasa senang hati dapat mengangkat konsep unik seperti "Pagglait" ke layar perak bersama Sanya Malhotra yang menerajui filem ini, dan syarikat produksi Balaji Telefilms," kata Guneet.

Dalam pada itu, Sanya kini telah meneruskan penggambaran filem arahan Umesh Bist tersebut di Lucknow selepas menamatkan penggambaran bagi filem "Shakuntala Devi Human Computer".

"Pagglait" menceritakan kisah seorang gadis muda yang menemukan tujuan hidup dan identitinya dalam segala persoalan mengenai cinta dan kehidupan di sebuah bandar neo-moden kecil di India.

(Sumber foto: Prokerala & Bloomberg Quint)
(Sumber artikel: Hindustan Times)