Aktor Varun Dhawan yang sibuk mempromosikan filem barunya "Street Dancer 3D" mendedahkan bahawa dia mendapat inspirasi dari beberapa artis hip hop dan salah satunya adalah penyanyi rap Hollywood Eminem.

"Ketika membesar, saya mendapat inspirasi dari ramai artis hip hop seperti Eminem dan sejak itu minat saya terhadap bidang tarian mula menggunung.

"Saya bertuah kerana dapat meneruskan minat saya ini dalam filem bersama penari ikonik seperti Remo D'souza dan Prabhu Deva. Ia satu pengalaman menarik melihat evolusi dan perkembangan populariti hip hop di India.

"Individu artistik sedang memanfaatkan hip hop untuk menyampaikan pengetahuan, emosi dan pendapat dan saya gembira melihat orang ramai menerima serta menggalakkannya," katanya yang dipetik dari Pinkvilla.

Dengan itu, Varun berharap penglibatannya dalam filem "Street Dancer 3D" akan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mengeksperesikan diri mereka melalui tarian.

Buat pengetahuan umum, Varun telah menjalani latihan tarian selama enam jam sehari sepanjang tiga bulan tanpa henti. Dia mempelajari pelbagai jenis tarian termasuk 'krumping', hip hop, 'old school' dan 'b-boy'.

Filem arahan Remo D'Souza itu mengetengahkan isu India-Pakistan menerusi skop tarian dan muzik. Ia turut menampilkan pelakon lain seperti Shraddha Kapoor dan Nora Fatehi.

"Street Dancer 3D" bakal menemui penonton di pawagam bermula 24 Januari ini.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Eminem Pro & Varun Dhawan Instagram)
(Sumber artikel: Pinkvilla)