Pembikin filem Farah Khan memberitahu bahawa dia mula tertarik dengan filem-filem berunsur 'remake' dan menganggap ia relevan untuk penonton pada masa kini.

"Ya, saya tertarik untuk menghasilkan filem 'remake'. Kenapa tidak? Dulu saya sering memandang rendah terhadap filem-filem 'remake' dan sering berfikir mengapa orang lain menghasilkannya.

"Tetapi kini saya sedar yang satu dunia menghasilkan filem sebegitu. Saya juga mula sedar perkara itu selepas mempunyai anak-anak sendiri. Anak-anak saya tak pernah menonton filem yang saya gemari ketika zaman kanak-kanak.

"Mereka tak akan menontonnya sekarang kerana filem-filem itu dah ketinggalan zaman. Jadi kita perlu ubahnya supaya jalan cerita filem menjadi lebih menarik dan membuatkan ia lebih moden serta sesuai ditontoni oleh generasi kini," ujar Farah dengan lebih lanjut.

Seperti yang dilaporkan menerusi Hindustan Times, Farah mengakui pengalaman sebagai seorang ibu telah banyak mengubah kehidupan dan persepsinya.

Dalam pada itu, Farah turut membuat penjelasan mengenai spekulasi mengenai pembikinan 'remake' filem aksi komedi "Satte Pe Satta" 1982, yang semakin tular sejak bulan lepas.

Tambah Farah lagi, dia membiarkan orang ramai terus membuat spekulasi sendiri sehinggalah pihaknya membuat pengumuman secara rasmi mengenai perkara tersebut.

Filem klasik arahan Raj N. Sippy itu dibintangi oleh barisan pelakon seperti Amitabh Bachchan, Hema Malini, Sudhir, Shakti Kapoor, Paintal dan ramai lagi.

(Sumber foto: India West)
(Sumber artikel: Hindustan Times)