Sejak tahun lalu aktor Farhan Akhtar dilihat aktif berkongsikan aktiviti senaman kecergasan di media sosial sebagai persiapan filem sukan "Toofan" yang akan ditayangkan tahun ini.

Menurut Farhan, untuk memiliki bentuk badan tegap sebegitu rupa dalam tempoh enam minggu memerlukannya menjaga regimen senaman serta mengamalkan pemakanan dan diet harian tertentu.

"Ia merupakan cabaran buat saya untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup berlawanan dengan gaya hidup saya yang asal, iaitu dengan regimen senaman terkawal, kurang aktiviti fizikal dan pengambilan lemak, karbohidrat dan kanji yang banyak.

"Agak sukar juga. Walaupun saya mengimbangkan pengambilan makanan berminyak, namun kanji dan lemak membantu untuk saya naikkan badan. Itulah cara saya tambah 15kg!

"Bagi saya, kecergasan adalah satu gaya hidup dan bukan rutin semata-mata. Saya pilih untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan berdisiplin, serta mengelakkan pemakanan yang akan mengganggu sistem tubuh badan saya," jelasnya yang dipetik dari Telangana Today.

Seperti sedia maklum, Farhan akan menjayakan watak seorang peninju profesional bernama Karan Srivastav, dibantu oleh barisan pelakon lain seperti Paresh Rawal, Isha Talwar dan Mrunal Thakur.

Baru-baru ini, Farhan memuat naik kenyataan di Instagram mengenai perubahan tarikh rilis "Toofan" yang kini ditetapkan pada 18 September 2020 atas persetujuan pembikin filem Aditya Chopra dan Ritesh Sidhwani.

(Sumber: Telangana Today)
(Sumber foto: Rohan Shrestha)