Jika filem Kangana Ranaut "Manikarnika" bakal ke Jepun, kini filem sukan "Gold" yang diterajui Akshay Kumar akan mengikut jejak langkah sama apabila ia disahkan untuk ditayangkan di China pada 13 Disember ini.

Seperti yang dilaporkan menerusi India Today, filem "Gold" telah ditayangkan pada Hari Kemerdekaan India pada tahun lalu, seiring dengan ulang tahun ke-70 India merangkul pingat emas bagi sukan hoki dalam Kejohanan Olimpik 1948.

Teruja dengan berita itu, pihak produksi dan Akshay telah berkongsikan poster filem tersebut dalam versi Cina menerusi laman Twitter miliknya dengan kapsyen, ""GOLD" akan dirilis di China pada 13 Disember, 2019!".

Diarahkan oleh Reema Kagti, filem itu menampilkan Akshay sebagai Tapan Das, watak yang diinspirasikan oleh jurulatih hoki lagenda N.N. Mukherjee, dan aktres Mouni Roy sebagai watak isterinya, Monobina Das.

Secara ringkasnya, "Gold" mengisahkan impian Tapan Das untuk melayakkan pasukan hoki India memenangi pingat emas pertama mereka.

Untuk rekod, filem itu merupakan menjadi filem Bollywood pertama yang telah dirilis di Arab Saudi serta salah satu filem dengan kutipan tertinggi pada 2018 iaitu lebih RM95 juta secara keseluruhan.

(Sumber foto: News Heads)

(Sumber artikel: India Today)