Impian setiap aktor adalah untuk filem-filem lakonan mereka mendapat tempat di hati peminat, begitu juga dengan bintang Bollywood tersohor Akshay Kumar.

Sejak sedekad lalu, industri perfileman Bollywood dimeriahkan dengan kejayaan filem-filem lakonan Akshay yang rata-ratanya meraih kutipan pecah panggung.

"Satu perasaan yang tak boleh digambarkan apabila semua filem saya digemari ramai. Saya hampir tak percaya yang filem-filem saya meraih kutipan tinggi.

"Duit yang masuk dalam industri filem ini akan diberikan semula kepada para penerbit untuk menghasilkan pelbagai filem yang lebih baik pada masa akan datang, tak kira filem besar atau kecil.

"Tahun ini sama seperti 2018 dan 2017. Ia adalah tahun yang baik dan saya sangat bertuah. Ia menaikkan semangat saya untuk menerokai pelbagai lagi genre, topik, budaya dan jenis filem yang saya boleh tunjukkan kepada seluruh dunia," ujar Akshay yang dipetik dari Times of India.

Menurut bintang filem "Mission Mangal" itu, dia tidak dapat menjangkakan keputusan akhir filem itu ketika menandatangani sesebuah projek kerana masa berputar dengan pantas pada zaman ini.

Berbekalkan 30 tahun pengalaman dalam industri, Akshay berkata dia akan mencuba sedaya upaya untuk terus kekal relevan selagi mampu.

Dalam pada itu, Akshay meluahkan rasa gembira dengan kejayaan filem terbaru lakonannya "Good Newwz" yang meraih kutipan tinggi dalam tempoh tiga hari tayangan.

Filem terbitan Karan Johar itu turut dibintangi oleh Kareena Kapoor Khan, Diljit Dosanjh dan Kiara Advani. Ia telah dirilis di pawagam bermula 27 Disember.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Prokerala)
(Sumber artikel: Times of India)