Penerbit Akshay Bardapurkar membuat keputusan untuk merilis semula filem "AB Anni CD" yang mula tayang di pawagam pada minggu lalu ke suatu tarikh baru yang bakal diumumkan kelak.

Perkara itu berikutan kebimbangan penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan kerajaan India mengarahkan supaya semua panggung wayang ditutup sehingga 31 Mac ini.

"Kami telah menunda tarikh rilis filem "AB Anni CD". Apa yang kami perlu utamakan sekarang adalah keselamatan semua pihak. Maklum balas yang kami terima setakat ini sangat memberansangkan.

"Kami berasa senang hati apabila mendapat tahu para penonton menyokong keputusan kami dan sanggup bersabar untuk menontonnya. Saya harap orang ramai sentiasa berwaspada sehingga situasi terkawal.

"Perkara ini memerlukan kerjasama semua pihak, bukan sahaja industri hiburan tetapi semua pihak perlu berada di rumah dan menjaga keselamatan supaya kita dapat menamatkan penularan wabak ini," ujarnya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

"AB Anni CD" merupakan sebuah filem Marathi arahan Milind Lele yang menampilkan bintang veteran Amitabh Bachchan sebagai cameo. Ia dibintangi oleh Vikram Gokhale, Subodh Bhave, Sayali Sanjeev, dan Akshay Tanksale.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: deccanchronicle)