Pembikin "Gulabo Sitabo" mengumumkan keputusan mereka untuk merilis filem komedi kekeluargaan itu secara digital pada 12 Jun 2020 menerusi sebuah portal penstriman video berbayar.

Perkara itu turut dikongsi oleh peneraju utama iaitu bintang veteran Amitabh Bachchan menerusi media sosial, yang meluahkan rasa teruja atas perubahan industri perfileman pada masa kini.

"Mulai melibatkan diri dalam industri filem India pada 1969 dan kini pada 2020, sudah 51 tahun! Banyak perubahan dan cabaran yang dapat dilihat. Kini satu lagi cabaran, filem saya "Gulabo Sitabo" dirilis secara digital!

"Ia akan disiarkan di lebih 200 buah negara pada 12 Jun. Ia sangat mengujakan! Saya berasa senang hati kerana dapat terlibat dalam perubahan ini," tulisnya.

Amitabh Bachchan

Amitabh Bachchan

Dalam pada itu, pengarah Soojit Sircar memberitahu dia mempunyai satu tabiat di mana dia tidak sabar untuk meriliskan filemnya sebaik sahaja ianya disiapkan.

"Sepatutnya filem ini akan dirilis April lalu. Kebiasaannya apabila sesebuah filem saya selesai disiapkan, saya mempunyai satu tabiat buruk untuk merilisnya kepada para penonton waktu itu juga.

"Saya berpendapat, memandangkan filem itu sudah siap dan saya tak tahu bila pawagam akan dibuka semula, maka ia adalah keputusan yang tepat. Saya ingin mencapai lebih ramai penonton.

"Ronnie Lahiri (penerbit) memberitahu filem ini akan dirilis di lebih 200 buah negara secara serentak. Ini merupakan sebuah platform yang tak pernah saya terokai lagi sebelum ini," ujarnya yang dipetik dari India TV News.

Menerusi filem itu, para peminat berpeluang untuk menyaksikan gandingan Bachchan bersama aktor versatil Ayushmann Khurrana buat pertama kalinya.

(Sumber: Amitabh Bachchan Twitter, India TV News)
(Sumber foto: Tupaki, Daily Mail, Filmitbeat)