Ayushmann Khurrana dan Tabu merupakan peneraju utama "Andhadhun".

Filem thriller jenayah "Andhadhun" yang dibintangi oleh aktor Ayushmann Khurrana dan Tabu bakal ditayangkan di Festival Filem India Melbourne (IFFM) akan datang.

Diarahkan oleh Sriram Raghavan, filem itu berjaya mencapai kutipan pecah panggung semasa ia ditayangkan pada 5 Oktober tahun lalu.

Raghavan akan menghadiri festival filem yang ke-10 tersebut bersama Tabu serta akan membuat sesi bual bicara bersama penonton di Australia.

""Andhadhun" adalah ibarat satu pengembaran yang menarik buat kami dan kini untuk ia ditayangkan khas di Melbourne, merupakan sesuatu yang besar.

"Saya berasa amat teruja untuk berbual bersama penonton dan peminat filem India di Australia," ujar pengarah itu menerusi laporan dari BangaloreMirror.

Filem itu berkisar mengenai seorang pemain piano buta bernama Akash yang secara tidak sengaja terlibat dengan satu kes pembunuhan seorang bekas pelakon filem.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Ayushmann, yang menjayakan watak Akash, telah bertemu dengan beberapa orang pelajar buta dan memerhati cara mereka bermain piano.

Di samping itu, dia turut berlatih bermain piano selama empat jam sehari di bawah dengan bantuan seorang pemain piano, Akshay Verma, yang menetap di Los Angeles.

Selain Ayushmann dan Tabu, barisan pelakon yang turut membintangi filem itu ialah Radhika Apte, Anil Dhawan, Zakir Hussain, Ashwini Kalsekar dan Manav Vij.

IFFM yang akan bermula pada 8 hingga 17 Ogos depan bakal menampilkan bintang Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan, yang dijemput khas sebagai tetamu kehormat di acara tersebut.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber artikel: Bangalore Mirror
Sumber foto: Bolly4life