Aktres Vidya Balan mengumumkan bahawa filem biopik lakonannya "Shakuntala Devi" bakal ditayangkan menerusi sebuah portal penstriman video berbayar tidak lama lagi.

"Dengan suka citanya saya ingin mengumumkan yang anda semua bakal berpeluang untuk menonton "Shakuntala Devi" bersama orang-orang tersayang anda tidak lama lagi.

"Kami teruja kerana mampu menghiburkan anda dalam waktu yang tidak dapat dijangka ini," tulisnya Vidya menerusi laman Twitter miliknya.

Terdahulu, penerbit Vikram Malhotra ingin menayangkan filem ini di pawagam pada 8 Mei 2020 namun hasratnya itu tergendala susulan pandemik COVID-19 yang menjejaskan industri perfileman.

Baru-baru ini, pembikin filem "Gulabo Sitabo" yang dibintangi Amitabh Bachchan dan Ayushmann Khurrana juga mengumumkan filem mereka akan dirilis menerusi platform digital yang sama.

Filem arahan Anu Menon itu berkisarkan tentang kehidupan Shakuntala Devi, seorang penulis dan tokoh Matematik yang berkebolehan untuk mengira dan mencongak aritmetik sejak kanak-kanak lagi. Selain Vidya, "Shakuntala Devi" turut dibintangi pelakon-pelakon lain seperti Jisshu Sengupta, Sanya Malhotra, Amit Sadh dan Spandan Chaturvedi.

Dalam perkembangan lain, Vidya bakal membintangi sebuah lagi filem baru berjudul "Sherni" arahan Amit V. Masurkar yang kini filemnya masih dalam proses penggambaran.

(Sumber: Vidya Balan Twitter)
(Sumber foto: Vidya Balan Instagram)