Dalam situasi pandemik yang tidak menentu ini, pasti ramai yang berfikir dua kali untuk keluar rumah, lebih-lebih lagi ke panggung wayang. Tahun ini kita dapat lihat ramai pembikin filem Bollywood yang membuat keputusan untuk menangguh atau menayangkan filem mereka di portal penstriman video berbayar.
Bagi anda yang terlepas untuk menonton filem-filem Bollywood yang telah ditayangkan di pawagam pada awal tahun ini, jangan risau. Sepanjang Oktober ini, Astro BollyOne HD (saluran 251) akan menawarkan filem-filem Bollywood menarik dan juga terbaru buat tontonan anda sekeluarga di rumah. Mari kita semak filem apa yang bakal menghiasi kaca TV anda!
![]() |
Penggemar filem aksi thriller, jangan lepaskan peluang untuk menonton lakonan hebat Anupam Kher dan Esha Gupta dalam filem "One Day: Justice Delivered". Menurut pengarah Ashok Nanda, filem ini adalah fiksyen sepenuhnya, namun diinspirasikan dari kisah benar.
Pesara peguam Tyagi mendapati seorang demi seorang individu berprofil tinggi dilaporkan hilang. Walau bagaimanapun, unit polis bahagian jenayah gagal untuk menemui sebarang bukti melibatkan kes tersebut dan akhirnya ia dipindahkan di bawah tanggungjawab pegawai khas bahagian jenayah, Laxmi Rathi. Nekad untuk menegakkan keadilan sendiri, Tyagi bekerjasama dengan Laxmi untuk menyelesaikan kes tersebut.
Tarikh tayangan: 1 Oktober 2020
![]() |
Mahie Gill akan menampilkan sisi komedinya buat pertama kali dalam filem arahan Gagan Puri yang diberi judul "Door Ke Darshan" ini. Selain Mahie Gill, filem ini juga dibintangi oleh Manu Rishi Chaddha, Dolly Ahluwalia, Mehak Manwani dan ramai lagi. Apakah yang terjadi jika seorang anak perlu memastikan ibunya kekal gembira selepas sedar dari koma selama bertahun-tahun?
Selepas ditinggalkan isterinya, Sunil hidup bersama anak-anaknya yang kini meningkat remaja. Pada masa yang sama, ibu Sunil berada dalam keadaan koma selama 30 tahun. Apabila ibunya sedar dari koma, doktor menasihatkannya agar menjaga keadaan fikiran ibunya yang masih lemah dan mengelakkan dia dari tertekan. Untuk itu, Sunil terpaksa menipu dengan mengatakan ibunya hanya koma selama enam bulan, dan dia turut mengubah situasi serta keadaan rumahnya seperti 30 tahun yang lalu.
Tarikh tayangan: 8 Oktober 2020
![]() |
Bollywood tidak akan lengkap tanpa filem-filem bergenre komedi romantik, dan "Jai Mummy Di" adalah salah satu daripadanya. Filem arahan Navjot Gulati ini dibintangi oleh Sunny Singh dan Sonnalli Seygall sebagai pasangan kekasih. Antara pelakon lain yang turut sama ditampilkan ialah Supriya Pathak, Poonam Dhillon dan Shiwani Saini.
Puneet dan Saanjh mencintai antara satu sama lain, namun hubungan mereka tidaklah semudah yang disangkakan kerana mereka perlu bercinta dalam diam. Ianya gara-gara ibu mereka, yang dulunya bersahabat baik, kini bermusuh dan sering berbalah. Konflik timbul apabila ibu mereka telah menetapkan perkahwinan mereka dengan orang lain. Mampukah Puneet dan Saanjh menyelamatkan hubungan mereka?
Tarikh tayangan: 15 Oktober 2020
![]() |
Menampilkan Ammy Virk dan Tania sebagai pelakon utama, filem romantik bahasa Punjabi ini digarap oleh Jagdeep Sidhu. Gandingan serasi kedua-dua pelakon itu berjaya membuatkan filem ini meraih kutipan tinggi dan sambutan memberangsangkan! Malah, ia juga merupakan filem debut Tania. Buat semua yang gemarkan filem romantik yang penuh konflik, "Sufna" patut berada dalam 'watch-list' anda!
Jeet merupakan seorang pemuda kampung yang bersemangat tinggi, sayangnya dia tidak kisah akan masa depannya dan tiada matlamat dalam hidup. Segalanya berubah selepas dia mengenali Teg, seorang gadis dari kampung sebelah, yang sentiasa memberi nasihat berguna kepadanya. Biarpun kedua-duanya mempunyai masalah peribadi, namun mereka mempunyai satu sama lain untuk bergantung harap.
Tarikh tayangan: 22 Oktober 2020
![]() |
Buat anda yang rindukan lakonan legenda Bollywood, Irrfan Khan, jangan terlepas untuk menonton filem terakhirnya, "Angrezi Medium", yang diarahkan oleh Homi Adajania! Ia merupakan 'spin-off' kepada filem "Hindi Medium" (2017). Selain Irrfan, filem ini turut menampilkan lakonan hebat Kareena Kapoor Khan, Radhika Madan dan Deepak Dobriyal.
Filem ini mengisahkan Champak Bansal, seorang pemilik kedai manisan, yang berusaha menunaikan impian anaknya untuk menyambung pengajian sarjana muda Bahasa Inggeris di London. Walau bagaimanapun, dia berdepan masalah kewangan, dan hanya warganegara British yang boleh mendaftar pengajian di sana. Nekad meneruskan impian anaknya, Champak cuba menarik perhatian seorang wanita British bernama Naina untuk membantunya.
Tarikh tayangan: 29 Oktober 2020