Ramai peminat filem Bollywood yang tidak berkesempatan untuk menonton filem-filem keluaran Bollywood terbaru memandangkan situasi pandemik COVID-19 tidak mengizinkan orang ramai untuk berkunjung ke pawagam. Malah ramai pembikin filem Bollywood yang membuat keputusan untuk menangguhkan atau menayangkan filem mereka di portal penstriman video berbayar.

Namun begitu, jangan risau kerana saluran Astro BollyOne HD (saluran 251) akan menyajikan anda dengan filem-filem Bollywood menarik dan juga terbaru untuk anda tonton bersama keluarga di rumah! Oleh itu, mari kita lihat senarai filem Bollywood yang bakal ditayangkan bermula 3 hingga 24 September ini!

"Chippa"

Sesuai buat tontonan seisi keluarga, filem arahan Safdar Rahman ini menceritakan kisah kanak-kanak menjalani cabaran hidup ketika membesar. Filem ini menampilkan pelakon kanak-kanak, Sunny Pawar sebagai watak utama, di samping pelakon lain seperti Mala Mukherjee dan Surojit. Persembahan lakonan hebat Sunny juga melayakkan dia diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem New York.

Pada malam hari ulang tahun kelahirannya yang ke-10, Chippa menerima sepucuk surat daripada bapanya yang tidak pernah dikenali sejak kecil. Surat itu ditulis dalam bahasa Urdu, menyebabkan Chippa memerlukan bantuan daripada seseorang untuk membacanya. Pada masa yang sama, dia turut bergaduh dengan makcik yang tinggal bersama, hingga dia nekad untuk meninggalkan rumah itu dan pergi mengembara di serata bandar Kolkata demi mencari bapanya.

Tarikh tayangan: 3 September 2020

"Surkhi Bindi"

Diarahkan oleh Jagdeep Sidhu, filem India-Punjabi ini dibintangi oleh Gurnam Bhullar dan Sargun Mehta sebagai watak utama. Ia mengisahkan seorang pekerja salon kecantikan bernama Raano yang menyimpan impian untuk bermigrasi ke Kanada dan menjadi penduduk tetap di sana. Malah, dia turut berkeinginan untuk berkahwin dengan jejaka di Kanada.

Walau bagaimanapun, impiannya musnah apabila dia dipaksa berkahwin dengan Sukha. Biarpun pada mulanya dia tidak menyukai suaminya, namun lama kelamaan dia menyedari tiada orang lain yang sanggup menyokongnya dari belakang melainkan Sukha. Lakonan dan keserasian Gurnam dan Sargun berjaya menerima pujian dan ulasan bagus daripada penonton dan pengkritik filem.

Tarikh tayangan: 10 September 2020

"Dabangg 3"

Kepada para peminat bintang Bollywood terkenal, Salman Khan, jangan bimbang kerana anda akan disajikan dengan tayangan filem aksi pecah panggung "Dabangg 3" sempena cuti umum sambutan Hari Malaysia! Dalam filem ketiga dari francais kegemaran ramai "Dabangg", Salman Khan kembali sebagai watak Inspektor Chulbul Pandey, anggota polis yang ceria dan berani. Kali ini dia berdepan dengan Balli Singh, penjenayah kejam yang telah mengganggu kehidupan orang ramai. Selain Salman Khan, filem arahan Prabhu Deva ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sonakshi Sinha, Sudeep, Warina Hussain dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 16 September 2020 (Tayangan Perdana Bonus sempena Hari Malaysia)

"Tanhaji: The Unsung Warrior"

Filem bertemakan aksi sejarah arahan Om Raut ini menampilkan barisan pelakon Bollywood 'A-list' yang terdiri daripada Ajay Devgn, Saif Ali Khan, Kajol, Sharad Kelkar, Luke Kenny, Padmavati Rao, Neha Sharma dan Nissar Khan. Ajay menggalas watak ketua tentera Empayar Maratha, Tanaji Malusare, sementara Saif Ali Khan sebagai pengawal diraja bernama Udaybhan Singh Rathore. Sambutan dan kutipan memberangsangkan sejak ia ditayangkan mengangkat filem ini sebagai filem Bollywood dengan kutipan tertinggi pada 2020.

Berlatarbelakangkan kurun ke-17, di mana Maharaja Mughal Aurangzeb mengisytiharkan kubu Kondhana sebagai ibu kota India Selatan dan merancang untuk melebarkan empayar Mughal. Jeneral Tanaji Malusare telah diperintahkan oleh Maharaja Maratha Chhatrapati Shivaji Maharaj untuk menakluk kubu itu demi melindungi India Selatan daripada dijajah pihak Mughal, sementara Aurangzeb menghantar komander Uday Bhan untuk mempertahankan kubu itu. Pertarungan antara kedua-dua pihak untuk menguasai kubu itu tercetus dan sehingga kini ia dikenali sebagai Perang Sinhagad.

Tarikh tayangan: 17 September 2020

"Thappad"

Sebuah filem yang berkait dengan situasi sebenar keganasan rumah tangga yang kesnya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Malah filem arahan Anubhav Sinha ini juga diinspirasi berdasarkan kisah benar mengenai Seksyen 498A Kanun Keseksaan, yang menyatakan jika seorang suami atau saudaranya berlaku kejam terhadap wanita, dia akan dipenjarakan atau berdepan hukuman mati.

Taapsee Pannu memegang watak utama sebagai seorang wanita bernama Amrita, yang hidup bahagia bersama suaminya. Namun semua itu berubah apabila suatu hari, dia telah ditampar suaminya ketika majlis makan malam, menyebabkan dia ingin memfailkan penceraian. Ingin tahu apa nasib Amrita dalam menjalani kehidupan hariannya, jangan lupa tonton!

Tarikh tayangan: 24 September 2020