Biarpun industri perfileman Bollywood terkenal dengan filem-filem pecah panggung, namun ada juga beberapa filem yang menyentuh isu-isu sensitif sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati beberapa pihak. Malah, terdapat negara-negara yang mengharamkan filem-filem sebegitu untuk ditayangkan di negara mereka, termasuk Malaysia. Berikut merupakan senarai filem-filem Bollywood yang gagal ke pasaran Malaysia.
Malaysia adalah negara pertama yang mengharamkan penayangan "Padmaavat" (2018) susulan jalan ceritanya memberikan gambaran buruk terhadap agama Islam, termasuk perubahan sejarah apabila watak Sultan Alauddin Khilji digambarkan sebagai individu sombong, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Filem ini dibintangi oleh Deepika Padukone, Shahid Kapoor dan Ranveer Singh. |
![]() Diterajui oleh Akshay Kumar, Taapsee Pannu dan Danny Denzongpa, "Baby" (2015) didakwa sebagai filem anti-Pakistan dan memberi imej buruk terhadap agama Islam. Ia didedahkan oleh aktor Pakistan, Mikaal Zulfiqar, selepas membintangi filem ini. Mikaal akhirnya membuat keputusan untuk tidak lagi membintangi filem Bollywood memandangkan industri itu tidak menghormati pelakon Pakistan. |
![]() Gara-gara penuh kandungan yang tidak menyenangkan dan penuh kontroversi, filem "Lamhaa" (2010) turut diharam tayang di beberapa negara Islam Timur Tengah seperti Arab Saudi, Pakistan, Qatar dan Oman. Filem yang dibintangi oleh Sanjay Dutt, Bipasha Basu dan Kunal Kapoor ini menceritakan kehidupan sebenar masyarakat Kashmir dan pihak produksi telah mempromosikan filem ni dengan gambaran Kashmir adalah tempat paling berbahaya di Dunia. |
![]() Pada permulaan cerita, "Mukhbiir" (2008) memaparkan watak seorang ahli kumpulan pengganas yang merancang untuk melakukan serangan besar-besaran terhadap India, iaitu kes pengeboman Mumbai 1993. Malah menurut pengkritik filem, watak-watak yang dilihat dalam filem ini juga bersikap stereotaip. Filem ini menampilkan para pelakon seperti Suniel Shetty, Sameer Dattani, Om Puri dan Rahul Dev. |
![]() Sebuah lagi filem yang menyentuh isu Kashmir iaitu "Maa Tujhhe Salaam" (2002) yang dibintangi oleh Sunny Deol, Tabu dan Arbaaz Khan. Filem perang ini mengisahkan kehidupan tentera-tentera di Kashmir yang tersepit dengan konflik yang berlaku antara India dan Pakistan. Ia telah dirilis ketika situasi antara dua negara itu berada di tahap yang paling tegang. |
![]() Dinobatkan sebagai salah satu filem paling berjaya di India, "Gadar: Ek Prem Katha" (2001). Berlatarbelakangkan Pemisahan India 1947, yang memberi kesan terhadap umat Islam di India, filem ini memaparkan keganasan dan kekerasan terhadap Islam apabila orang Sikh dan Hindu menyerang dan membunuh orang-orang Islam yang bermigrasi ke India menaiki kereta api. Aktor Sunny Deol dan Amisha Patel berkongsi skrin sebagai peneraju utama. |
![]() "Mission Kashmir" (2000) menyaksikan gandingan Hrithik Roshan, Sanjay Dutt dan Jackie Shroff. Ia mengetengahkan isu antara India dan Pakistan yang merebut wilayah Kashmir. Biarpun filem ini berjaya meraih kutipan pecah panggung, namun ia memberi gambaran bahawa penduduk Kashmir, yang majoritinya Islam, adalah pengganas, apabila watak utama ingin memperjuangkan hak kebebasan di wilayah itu dengan kekerasan. |
![]() Sama seperti filem-filem sebelumnya, filem thriller jenayah lakonan Hrithik Roshan iaitu "Fiza" (2000) juga memaparkan orang Islam yang memilih jalan kekerasan dengan menyertai kumpulan pengganas. Malah watak Amaan Ikramullah yang dijayakan oleh Hrithik ini juga perlu menyertai misi untuk membunuh dua ahli politik yang berkuasa. |