Setelah beberapa filem besar diumumkan untuk tayang menerusi platform digital, kini filem baru lakonan aktres Janhvi Kapoor iaitu "Gunjan Saxena: The Kargil Girl" dan "Roohi Afzana" pula dilaporkan bakal beralih ke arah yang sama.

Seperti yang dilaporkan menerusi India TV News, kedua-dua buah filem itu telah pun selesai sesi penggambarannya dan kini hanya berbaki kerja-kerja pos-produksi.

Walau bagaimanapun, perkara itu masih belum disahkan oleh pihak produksi mahupun Janhvi sendiri, sebaliknya aktres itu meluahkan rasa lega kerana selesai menjalani penggambaran sebelum Perintah Berkurung dilaksanakan.

"Saya senang hati kerana kedua-dua buah filem ini telah disiapkan. Saya tak tahu apa yang akan jadi jika sesi penggambaran terpaksa ditunda.

""Gunjan Saxena" dan "Roohi Afzana" sudah selesai penggambaran, sementara "Dostana 2" pula kami telah filemkan sebanyak 40 peratus.

"Kami mempunyai lebih kurang 20 hari untuk menyiapkan proses suntingan kesan visual (VFX) bagi filem "Gunjan Saxena"," dedah anak kepada mendiang primadona Sridevi itu.

Terdahulu, pihak produksi telah menetapkan tarikh 24 April 2020 untuk menayangkan "Gunjan Saxena", iaitu filem biopik terbitan Karan Johar berkisarkan tentang juruterbang Tentera Udara India pertama.

"Roohi Afzana" pula adalah filem komedi seram terbitan Dinesh Vijan yang menggandingkan Janhvi bersama aktor Rajkummar Rao dan Varun Sharma. Ia dijadualkan untuk tayangan pada 5 Jun 2020.

Sementara itu, filem "Dostana 2" merupakan filem terbitan Karan Johar yang bertindak sebagai sekuel filem "Dostana" (2008). Ia dibintangi oleh Janhvi bersama aktor Kartik Aaryan dan Laksh Lalwani.

(Sumber: India TV News)
(Sumber foto: Paytm.com & Forum Films)