Jangkaan tinggi terhadap filem "Love Aaj Kal" arahan Imtiaz Ali susut apabila filem yang dibintangi Kartik Aaryan dan Sara Ali Khan itu kurang menerima sambutan selepas empat hari ditayangkan.

Menurut laporan dari India Today, anggaran kutipan setakat ini hanya mencecah Rs 31.26 crore (RM18.17 juta), manakala anggaran kutipan yang dijangka dalam tempoh tiga hari tayangan adalah Rs 40 crore (kira-kira RM23 juta).

Perkara itu turut dikongsikan oleh pengkritik dan penganalisis perdagangan filem terkenal Taran Adarsh menerusi laman Twitter.

Walau bagaimanapun, terdapat pihak yang sudah awal menjangkakan filem ini tidak setanding filem "Love Aaj Kal" (2009) yang dibintangi oleh bapa Sara yang juga bintang terkenal, Saif Ali Khan bersama Deepika Padukone.

Jalan cerita bagi kedua-dua filem itu adalah sama, iaitu kisah cinta dua pasangan kekasih dari tahun 1990 hingga 2020, yang mana setiap pasangan itu berdepan konflik berbeza.

Dalam perkembangan lain, Sara akan tampil dalam filem komedi romantik arahan David Dhawan berjudul "Coolie No. 1", yang mana dia bakal berkongsi skrin dengan aktor Varun Dhawan.

Sementara itu, Kartik pula dipilih untuk membintangi dua buah filem, iaitu "Bhool Bhulaiyaa 2" arahan Anees Bazmee dan "Dostana 2" terbitan Karan Johar.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber: India Today)
(Sumber foto: Sara Ali Khan Instagram)