Setelah lama berdiam diri, bintang Bollywood Salman Khan akhirnya tampil mengesahkan bahawa filem besarnya yang dinanti-nanti ramai, "Radhe: Your Most Wanted Bhai" akan ditayangkan di pawagam tahun ini.
Seperti biasa, Salman konsisten dalam menayangkan filem-filemnya pada musim perayaan, terutamanya perayaan Aidilfitri. Maka dengan itu, "Radhe" juga akan ditayangkan pada Aidilfitri 2021.
Walau bagaimanapun, memandangkan dunia masih belum pulih dari pandemik COVID-19, Salman amat mengambil berat akan keselamatan pengunjung yang akan ke pawagam untuk menonton filemnya.
"Maaf kerana mengambil masa yang lama untuk memberi maklum balas kepada semua pemilik pawagam. Ia adalah satu keputusan yang besar untuk diambil pada tempoh sebegini.
"Saya memahami masalah kewangan yang dihadapi oleh pemilik pawagam dan penganjur pameran dan saya ingin membantu mereka dengan melancarkan "Radhe" di pawagam.
"Sebagai balasan, saya berharap mereka akan memegang tanggungjawab dalam mengamalkan langkah berjaga-jaga terhadap pengunjung yang ingin menonton "Radhe" di pawagam," katanya menerusi laman Instagram.
Terdahulu, bintang Bollywood John Abraham juga telah mengumumkan bahawa filem "Satyameva Jayate 2" akan ditayangkan pada 12 Mei 2021, bersempena dengan Aidilfitri, menerusi laman sosial miliknya.
Seperti yang dikongsi oleh pengarah Milap Zaveri, sekuel kepada filem patriotik itu akan ditampilkan dengan aksi yang lebih hebat, padat serta berskala lebih besar berbanding filem pertama.
Secara tidak langsung, para peminat akan menyaksikan 'pertembungan' antara kedua-dua filem besar tersebut dalam merebut gelaran filem pecah panggung.
(Sumber foto: Salman Khan & John Abraham Instagram)