Nampaknya keterujaan para peminat bintang Bollywood Salman Khan semakin menggunung apabila produksi filem "Tiger 3" dikatakan bakal bermula lebih awal iaitu pada Mac tahun hadapan.

Memetik laporan dari Times of India, jadual pertama penggambaran akan bermula di Mumbai, disambung dengan jadual kedua di Timur Tengah dan yang terakhir di Mumbai semula.

Buat masa ini, plot filem berkenaan belum didedahkan dan judul filem juga belum dimuktamadkan, yang mana ia masih menggunakan judul sementara "Tiger 3".

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, "Tiger 3" merupakan filem terakhir dari francais "Tiger", selepas "Ek Tha Tiger" (2012) dan "Tiger Zinda Hai" (2017), terbitan Aditya Chopra di bawah syarikat produksi Yash Raj Films.

Terdahulu, pihak produksi merancang untuk membuat pengumuman rasmi mengenai filem itu pada September lalu, namun sehingga kini masih belum ada perkembangan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Salman kini terlibat dengan penggambaran filem aksi "Antim: The Final Truth", yang turut dibintangi adik iparnya dan aktor Aayush Sharma.

Selain itu, dua lagi filem lakonan Salman iaitu "Radhe: Your Most Wanted Bhai" dan "Kabhi Eid Kabhi Diwali" juga dijadualkan untuk tayang pada tahun hadapan.

(Sumber foto: Mohits Movies)