Filem terbaru Priyanka Chopra "The Sky Is Pink" akan mendapat tayangan perdana secara global di Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF) 2019 yang bermula pada lima hingga 15 September.

Pengumuman mengenai perkara tersebut telah dikongsikan oleh pihak TIFF di laman sesawang rasmi dan Twitter mereka pada Selasa.

Diarahkan oleh Shonali Bose, filem itu berkisar mengenai kisah cinta antara ibu bapa kepada pakar motivasi Aisha Chaudhary, di mana watak mereka dibawa oleh Priyanka dan Farhan Akhtar.

Seperti yang dilaporkan menerusi Times of India, Aisha Chaudhary didiagnosis dengan penyakit kekurangan imun dalam badan seawal usia 13 tahun.

Watak Aisha Chaudhary digalas oleh aktres 18 tahun, Zaira Wasim, yang baru-baru ini telah mengejutkan dunia Bollywood kerana ingin bersara dari lakonan atas sebab tertentu.

Dalam pada itu, "The Sky Is Pink" menandakan kembalinya Priyanka ke industri filem Hindi selepas berehat sementara bagi memberi ruang untuk komitmennya dalam industri Hollywood sejak 2016.

Untuk pengetahuan lanjut, Priyanka juga bertindak sebagai penerbit atas kerjasama dengan Ronnie Screwvala dan Siddharth Roy Kapur bagi filem tersebut.

Selain "The Sky Is Pink", filem lain yang akan turut ditayangkan di festival filem itu ialah "Jojo Rabbit", dokumentari "Western Stars", "Hustlers", filem animasi "Abominable" dan "A Beautiful Day in the Neighborhood".

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: Times of India)
(Sumber foto: Alexa Magazine)