Permergian bintang veteran Rishi Kapoor minggu lalu tidak menghalang pembikin filem "Sharmaji Namkeen" untuk terus menyiapkan dan menayangkan filem terakhir Rishi di layar perak.

Filem yang diterbitkan oleh hasil kerjasama Sidhwani dan Farhan Akhtar itu mengisahkan seorang lelaki berumur 60 tahun yang mahu meneroka kehidupannya selepas bersara dari kerja.

Menurut laporan dari Bollywood Hungama, sebahagian besar babak-babak daripada filem itu telah selesai difilemkan dan hanya berbaki beberapa babak kecil lakonan Rishi.

"Rishi Kapoor merupakan peneraju utama filem ini dan sebahagian besar daripadanya siap difilemkan dan hanya tinggal beberapa hari penggambaran bersama Rishi.

"Memandangkan ia adalah projek filem terakhir Rishi Kapoor yang hampir disiapkan, Ritesh dan Farhan nekad untuk memastikan filem itu diriliskan.

"Butiran-butiran mengenai bagaimana Ritesh dan Farhan ingin menyiapkan filem ini masih dalam perbincangan tetapi apa yang pasti filem ini akan disiapkan dan ditayang di pawagam," dedah satu sumber terdekat.

Sesi penggambaran filem itu telah bermula pada Disember tahun lalu sehingga pertengahan Februari 2020 di Mumbai dan Delhi sebelum Perintah Berkurung dilaksanakan.

Selain Rishi, filem arahan Hitesh Bhatia itu turut menampilkan aktres Juhi Chawla dan Gufi Paintal. "Sharmaji Namkeen" dijangka akan ditayangkan pada 2021.

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: Juhi Chawla Twitter)