Satu per satu perkara mengenai aktor Sushant Singh Rajput mula didedahkan selepas kematiannya, termasuk fotonya bersama model Amerika terkenal Kendall Jenner yang baru-baru ini tular di Internet.

Difahamkan foto itu merupakan sesi bergambar oleh jurugambar Peru terkenal Mario Testino untuk majalah antarabangsa Vogue edisi Mei 2017, yang juga sambutan ulang tahun ke-10 majalah tersebut.

Menurut laporan Republic Word, lokasi sesi bergambar itu bertempat di Hotel Samode Palace, Jaipur, sewaktu model terkenal itu melawat India pada Februari 2017.

Malah Vogue turut menyertakan sebuah video di sebalik tabir istimewa berjudul Indian Affar starring Kendall Jenner menerusi saluran YouTube mereka. Sushant juga dilihat membuat penampilan dalam video tersebut.

Seperti yang dilihat, video itu turut menampilkan beberapa individu ternama daripada golongan diraja seperti puteri Jammu dan Kashmir, Mriganka Singh, dan puteri Baroda, Radhika Gaekwad.

Untuk rekod, Sushant merupakan satu-satunya aktor Bollywood yang berpeluang untuk menyertai sesi bergambar bersama Kendall.

Sushant, yang telah menjayakan filem-filem seperti "M. S. Dhoni: The Untold Story", "Kedarnath" dan "Chhichhore", akan dilihat berlakon buat kali terakhir menerusi filem romantik "Dil Bechara", iaitu 'remake' versi Hindi filem Hollywood "The Fault in Our Stars".

(Sumber: Republic World)
(Sumber foto: Vogue Magazine)