Aktor Hrithik Roshan telah menjalin kerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Akshaya Patra Official untuk membantu menyalurkan bekalan makanan kepada golongan memerlukan ketika Perintah Berkurung.

Menurut jurucakap pertubuhan itu, Hrithik telah menampung perbelanjaan sebanyak 1.2 lakh (RM520, 800) untuk bekalan makanan yang diberi kepada golongan berpendapatan rendah, warga emas dan para pekerja.

"Sukacitanya kami ingin memaklumkan bahawa pertubuhan kami kini dikuasakan oleh bintang terkenal Hrithik Roshan. Bersama, kami akan menyediakan hidangan-hidangan berkhasiat yang kosnya 1.2 lakh untuk diberi kepada warga emas, para pekerja buruh dan golongan berpendapatan rendah di serata India, sehingga keadaan kembali seperti biasa.

"Kami sangat menghargai bantuan daripada Hrithik Roshan dalam menyumbangkan wang perbelanjaan serta mengambil berat tentang kesihatan dan kebajikan seluruh masyarakat India yang memerlukan. Kami berterima kasih kepada Hrithik," tulisnya di Twitter.

Menurut Hrithik, dia berbangga dengan usaha yang dijalankan bagi pihak pertubuhan itu dan berharap tiada sesiapa pun di antara golongan masyarakat di India yang tidur dengan perut kosong.

"Marilah teruskan usaha kita selagi termampu dengan cara tersendiri. Tiada sumbangan yang terlalu besar atau terlalu kecil. Semoga yang baik-baik untuk kita semua," tulis Hrithik di Twitter miliknya.

Sepanjang tempoh berkurung ini, Hrithik dilihat meluangkan masa di rumah bersama bekas isteri Sussanne Khan dan dua anak lelaki mereka. Aktor filem "War" itu juga mula mempelajari cara bermain piano.

(Sumber: Akshaya Patra Official Twitter)
(Sumber foto: Masala)