Aktor Hrithik Roshan membangkitkan keterujaan para peminat apabila memberi petunjuk bahawa watak makhluk asing pertama dalam filem Hindi iaitu Jadoo bakal kembali menerusi filem adiwira "Krrish 4".
Perkara itu timbul selepas berlakunya gempa bumi berskala rendah di India pada 20 Mei dan salah seorang peminat bergurau mengatakan Hrithik telah memanggil makhluk asing untuk turun ke bumi seperti dalam filem lakonannya "Koi... Mil Gaya" (2003).
Wasn't a mistake . It's time . https://t.co/AjibtJ3wHI
- Hrithik Roshan (@iHrithik) May 20, 2020
Entri yang dikongsikan menerusi laman Twitter itu telah menerima banyak maklum balas para peminat yang rata-ratanya mahukan watak makhluk asing biru itu membuat kemunculan semula dalam "Krrish 4".
Dalam pada itu, satu sumber mendedahkan Rakesh Roshan, Hrithik dan kumpulan penulis telah melakukan perbincangan bagi memperoleh idea-idea bagaimana untuk memperkembangkan filem tersebut.
"Jadoo mempunyai nilai yang membuatkan orang ingat padanya dan mereka berpendapat memandangkan watak Rohit Mehra mati dalam "Krrish 3", ini adalah masanya untuk memperkenalkan Krrish kepada makhluk asing yang memberinya kuasa istimewa.
"Mereka telah berbincang mengenai skala, visual dan beberapa aspek teknikal filem itu bersama pakar-pakar dari Barat," tambahnya yang dipetik dari Mumbai Mirror.
Seperti sedia maklum, "Krrish 4" kini berada dalam proses pra-produksi, di mana Rakesh bersama kumpulan penulisnya sedang berusaha untuk menghasilkan skrip terbaik bagi menjayakan filem keempat dari francais tersebut.
(Sumber: Hrithik Roshan Twitter & Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Oye Happy & Famous Fix)