Pelakon terkenal Hrithik Roshan yang sebelum ini bersetuju untuk membintangi filem 'remake' "Satte Pe Satta" arahan Farah Khan dikatakan akan menarik diri dari filem tersebut.

Menurut satu sumber yang dipetik dari Masala, Hrithik dikatakan kini bersikap sangat selektif terhadap tawaran berlakon.

"Hrithik mencari sebuah naskhah yang mampu mengatasi "Super 30" dan "War", dan "Satte Pe Satta" bukan projek seperti yang di mahukannya.

"Walaupun ia mempunyai potensi komersial, tetapi bukan itu yang dimahukan olehnya pada peringkat kerjayanya kini," ujar sumber itu.

Terdahulu pengarah Farah Khan mahu menghasilkan 'remake' dari filem pecah panggung 80an itu yang dibintangi oleh Amitabh Bachchan dan merasakan Hrithik adalah pelakon yang sesuai untuk menjayakan watak yang pernah dibawa oleh Amitabh Bachchan.

Dalam pada itu, kini khabar angin juga mula tersebar mengenai Hrithik dikatakan bakal membintangi filem "Inshallah" arahan Sanjay Leela Bhansali selepas Salman Khan yang sepatutnya menerajui filem itu bersama Alia Bhatt menarik diri.

Selain itu, aktor itu juga dikatakan bakal terlibat dengan filem sekuel "War", dan juga filem "Krrish 4".

(Sumber: Masala)
(Sumber foto: The News Minute)