Jika bercakap mengenai kontroversi antara dua bintang Bollywood ternama, Hrithik Roshan dan Kangana Ranaut bagaikan tiada penyudahannya, lebih-lebih lagi selepas kes yang difailkan Hrithik dipindahkan ke unit jenayah.

Memetik laporan dari Times of India, Hrithik telah memfailkan kes terhadap Kangana pada 2016 di bawah Jenayah Siber selepas menerima beratus-ratus emel daripada aktres itu dalam tempoh antara 2013 dan 2014.

Sehubungan dengan itu, peguam yang mewakili Hrithik, Mahesh Jethmalani telah menghantar sepucuk surat kepada pesuruhjaya polis Mumbai sebagai permohonan untuk menyiasat kes tersebut.

Laporan menyatakan polis siber sudah mendaftarkan kes itu di bawah Seksyen 419 dan Seksyen 66 Teknologi Maklumat (IT), Kod Penal India.

Seperti biasa, Kangana yang terkenal dengan bahasa lantangnya tidak akan berdiam diri dengan perkara itu dan telah mengeluarkan kenyataan berbaur sinis menerusi laman Twitter.

Kenyataan itu telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan peminat Hrithik dan Kangana, namun ada juga pengguna Twitter yang mempersoalkan mengapa kes ini dibicarakan semula sedangkan ia telah ditutup pada 2017.

Buat masa ini, aktor filem "War" itu masih belum tampilkan dengan kenyataan sendiri berhubung isu tersebut.

Mengimbas kembali apa yang berlaku, hubungan Hrithik dan Kangana semakin tegang gara-gara Kangana memburukkan namanya dalam satu temubual pada 2016, susulan percintaan mereka putus di tengah jalan.

Kedua-dua bintang itu pernah bekerjasama dalam filem "Kites" (2010) dan "Krrish 3" (2013). Spekulasi percintaan mereka timbul selepas beberapa pihak mendedahkan kemesraan mereka ketika penggambaran "Krrish 3" berlangsung.

(Sumber foto: Sify & SKJ Bollywood News)