Aktor Hrithik Roshan mendedahkan dia kini sudah bersedia untuk menerbitkan filem berkualiti tinggi di bawah syarikat produksi Film Kraft Productions yang dimiliki bapanya Rakesh Roshan.

"Syarikat produksi saya sedang aktif mencari kandungan yang bagus dan saya dan kumpulan saya sudah banyak meluangkan masa untuk membawa skrip.

"Mungkin saya tidak akan berlakon dalam filem-filem ini atau mungkin saya akan menjadi watak sampingan.

"Akan tetapi ideanya adalah untuk menerbitkan filem yang mempunyai kandungan bermakna, kisah kejayaan hidup atau sesuatu yang boleh meninggalkan impak kepada penonton," ujarnya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Dalam pada itu, Hrithik mengakui dia semakin selesa menyesuaikan diri dalam dunia populariti pada setiap tahun biarpun menyedari dirinya seorang yang pemalu.

Tambah bintang filem "Super 30" itu, dia sedar akan tanggungjawab sebagai seorang aktor amat besar kerana ia memerlukan pelbagai kemahiran namun dia mampu menjalankannya dengan baik.

Kali terakhir Hrithik dilihat di layar perak adalah menerusi filem aksi Siddharth Anand iaitu "War" bersama Tiger Shroff yang berjaya mencipta rekod filem India dengan kutipan paling tinggi bagi 2019.

Buat masa ini, dia sedang mencari skrip filem yang menarik dan bersikap terbuka untuk menerima tawaran filem yang pelbagai genre.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: GQ India)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)