Pengisytiharan penularan wabak COVID-19 sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) baru-baru ini telah menjejaskan industri seni hiburan di seluruh dunia termasuk industri Bollywood.

Selain penangguhan tayangan filem-filem besar, kini salah satu acara berprestij tahunan di dunia iaitu anugerah Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA) juga terpaksa ditunda ke satu tarikh yang baru.

Acara yang digelar sebagai 'Oscar Bollywood' edisi ke-21 itu sepatutnya berlangsung di Madhya Pradesh pada hujung bulan ini. Sehubungan dengan itu, pihak penganjur IIFA telah mengeluarkan kenyataan secara rasmi.

"Berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19 serta memastikan kesihatan dan keselamatan para peminat IIFA dan orang awam, pihak pengurusan IIFA telah berunding dengan kerajaan Madhya Pradesh dan memutuskan untuk menunda acara IIFA 2020 yang sepatutnya berlangsung pada hujung Mac 2020.

"Satu tarikh dan perancangan baru untuk menganjurkan IIFA di Madhya Pradesh akan diumumkan tidak lama lagi. IFFA memegang tanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan keselamatan para peminat IIFA yang mengembara jauh dari seluruh dunia untuk menghadiri dan menikmati pengalaman magik IIFA.

"Segala kesulitan amat kami kesali, dan kami berharap agar semua pihak memahami sensitiviti atas situasi ini," ujar jurucakap IIFA seperti yang dilaporkan oleh Masala!

Tahun lalu, aktor versatil Ayushmann Khurrana telah bertindak sebagai pengacara IIFA 2019 dan tempat itu sepatutnya diisi oleh bintang terkenal Salman Khan pada acara tahun ini.

Filem terbaik yang berjaya mendominasi IIFA 2019 berpihak kepada "Raazi" arahan Meghna Gulzar dan aktres Alia Bhatt dinobatkan sebagai Aktres Terbaik bagi filem tersebut.

(Sumber: Masala)
(Sumber foto: Loudest India)