Ira Khan akui masih belum yakin untuk berlakon atau mengarah filem.

Pengarah baru Ira Khan meluahkan keinginan untuk mengarah sebuah filem yang dibintangi bapanya yang juga bintang terkenal Aamir Khan pada masa akan datang.

"Mungkin suatu hari nanti, apabila saya sudah lebih berpengalaman. Bekerja dengan seseorang yang anda kenal secara peribadi boleh menjadi rumit, dan ia bukan dikhaskan buat ayah sahaja, malah sesiapa pun.

"Saya perlu yakin dengan diri sendiri terlebih dahulu sebelum bekerja dengan ayah kerana dia mempunyai pengetahuan yang tinggi, seperti semua orang dalam keluarga.

"Jadi apabila saya dah betul-betul yakin, saya akan fikirkan lebih lanjut untuk mengarah filem yang dibintanginya," kata Ira yang dipetik dari Hindustan Times.

Menurut Ira, dia mempunyai satu ciri mirip bapanya, iaitu seorang yang kuat mengarah namun hanya dalam situasi yang tertentu sahaja. Tambahnya lagi, mereka berdua sangat fokus dalam melakukan sesuatu kerja.

Dalam pada itu, Ira akan memulakan kariernya dalam bidang pengarahan bermula dengan sebuah pementasan teater sulungnya berjudul "Medea" di Mumbai pada Disember depan.

Ira turut mendedahkan nasihat yang diterima daripada bapanya, iaitu dia perlu mementingkan pementasan itu dan sentiasa membuat pilihan yang tepat sebagai pengarah.

(Sumber foto: Ira Khan Instagram)
(Sumber artikel: Hindustan Times)