Model Romania Iulia Vantur yang mencipta nama di India tampil menjelaskan spekulasi mengatakan dia kini menjalin hubungan cinta dengan bintang Bollywood terkenal Salman Khan.

Terdahulu, salah seorang peminat mengeluarkan pendapat bahawa Iulia patut berkahwin dengan Salman ketika model itu sedang merakam video secara langsung Instagram Live.

"Pada pendapat saya perkara ini sepatutnya mengutamakan perasaan individu antara satu sama lain. Meluangkan masa bersama lebih penting dari perkara lain. Sampai satu tahap saya sering diaju soalan-soalan yang sama.

"Malah keluarga saya juga sering bertanya bila saya mahu berkahwin. Saya menjawab untuk berkahwin bukan semudah itu. Perasaan bahagia apabila meluangkan masa bersama seseorang itu lebih penting," katanya yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Menurut Iulia, selepas mengenali Salman selama beberapa tahun, dia mengaku bintang filem "Radhe" itu mempunyai personaliti yang menarik dan bersifat pemurah.

"Saya tak pernah jumpa orang lain seperti dia. Personalitinya sanagat istimewa. Saya sering terfikir mengapa orang ramai sangat menyayanginya. Rupa-rupanya sifatnya yang pemurah.

"Dia sering mengutamakan dan selalu ingin membantu orang lain tanpa niat lain. Oleh sebab itu orang ramai senang berhubung dengannya. Sememangnya dia adalah seorang insan yang istimewa," tambahnya lagi.

Buat pengetahuan lanjut, Iulia mula mengenali Salman pada 2010, di mana pada ketika itu Salman sedang menjalani penggambaran filem "Ek Tha Tiger" di Dublin, Ireland, dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat.

Untuk rekod, kali pertama Iulia tampil di layar perak adalah menerusi lagu "Ummbakkum" dalam filem komedi arahan Umesh Bisht "O Teri" (2014) yang diterajui oleh Pulkit Samrat dan Bilal Amrohi.

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: Iulia Vantur & Salman Khan Instagram)