Untuk mencipta nama di persada seni bukanlah sesuatu yang mudah, begitulah yang dihadapi oleh aktres Jacqueline Fernandez sebelum dia menceburi dunia perfileman Bollywood.

Menurut aktres berdarah kacukan Kanada, Sri Lanka dan Malaysia itu, antara cabaran yang perlu dia hadapi ialah terdapat pihak yang memintanya mengubah nama dan penampilannya.

Lebih mengguris hatinya, pernah ada rakan aktor yang mengatakan dia terlalu mencuba untuk menjadi kaum India apabila dia hadir ke sebuah majlis perayaan Diwali dengan memakai sari.

"Saya fikir, adakah semua perubahan itu penting? Jadi saya membuat keputusan untuk terus menjadi diri sendiri. Saya banyak bertenang dan segala kerja saya berjalan dengan lancar.

"Pernah sekali mereka menyuruh saya menukar nama ke Muskaan. Agensi saya turut bercadang untuk menukar nama saya sebelum mereka ubah fikiran.

"Selain itu, mereka turut mempunyai masalah dengan dialek saya namun mereka membiarkan sahaja memandangkan saya mempunyai had. Namun saya terus bekerja keras setiap hari untuk memahirkan bahasa Hindi," jelasnya yang dipetik dari Hindustan Times.

Untuk rekod, Jacqueline membuat debut dalam industri Bollywood menerusi filem "Aladin" (2009) arahan Sujoy Ghosh, di mana dia berpeluang untuk berkongsi skrin dengan bintang veteran Amitabh Bachchan dan Sanjay Dutt, serta aktor Riteish Deshmukh.

Terbaru, Jacqueline bakal membintang filem aksi thriller "Attack" yang akan menggandingkannya dengan bintang aksi John Abraham dan aktres Rakul Preet Singh.

Diarahkan oleh Lakshya Raj Anand, "Attack" bakal menggegarkan pawagam pada 14 Ogos 2020.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Elle India)