Aktres jelita Jacqueline Fernandez baru-baru ini dilaporkan telah menandatangani sebuah projek filem Telugu yang mengetengahkan genre sejarah aksi pengembaraan.

"Ia adalah sebuah filem pan-India berlatarbelakangkan tahun 1870 dan akan dirilis dalam beberapa versi berlainan. Jacqueline sedang menerokai jalan baru dan ini merupakan peluang keemasan baginya.

"Tahun ini, dia telah terbang ke Hyderabad dalam beberapa kali untuk bertemu dengan pengarah dan rakan pelakon lain. Dia telah memperuntukkan 40 hari untuk memberi komitmen kepada projek ini.

"Jacqueline akan menjayakan sebuah watak yang lain daripada watak-watak yang pernah dibawanya. Dia akan menggayakan pakaian yang dihasilkan daripada pereka fesyen terkemuka serta barangan kemas," dedah sumber yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Berikutan pandemik COVID-19 pada ketika ini, pembikin filem terpaksa menangguhkan projek buat sementara waktu dan penggambaran akan bermula sejurus sahaja keadaan mula terkawal.

Menerusi filem itu juga, Jacqueline akan digandingkan bersama aktor dan pembikin filem Telugu terkenal, Pawan Kalyan. Kedua-duanya bakal terlibat dengan penggambaran yang akan dijalankan di Hyderabad.

Dalam perkembangan lain, buat masa ini juga penggambaran sebuah lagi filem lakonan Jacqueline iaitu "Attack" terpaksa ditangguhkan sehingga keadaan pandemik terkawal.

Filem aksi arahan Lakshya Raj Anand itu menggandingkan Jacqueline bersama John Abraham dan Rakul Preet Singh. "Attack" dijangka akan ditayangkan di pawagam pada 14 Ogos 2020.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Addatoday)