Memetik laporan dari Hindustan Times, dalam episod itu, bintang Bollywood terkenal Sunny Leone dijemput sebagai tetamu istimewa, di mana dia menjadi ‘Doctor Sunny’ dan dikehendaki memberi tugasan kepada para peserta.
Seperti sedia maklum, hubungan antara Aly Goni dan Jasmin Bhasin memang tidak boleh disembunyikan lagi memandangkan kedua-dua pelakon TV itu sudah lama mengenali antara satu sama lain.
Malah, Jasmin juga telah mengesahkan bahawa mereka sudah menjalin hubungan cinta sejak tiga tahun lalu menerusi salah satu episod “Bigg Boss 14” pada Disember lalu.
Nampaknya kini Aly sudah bersedia untuk membawa hubungan mereka ke tahap lebih serius apabila dia dilihat melamar teman wanitanya secara langsung di program itu seperti yang diminta oleh Sunny.
Membalas lamaran itu, Jasmin memberitahu dia sedia untuk berkahwin dengan Aly sekiranya ibu bapanya bersetuju.
Sementara itu, Eijaz Khan pula mengesahkan dia menyimpan perasaan kepada Pavitra Punia dan merinduinya sejak pelakon “Naagin” itu disingkirkan dari program tersebut. “Ini adalah kebenarannya. Setiap degupan jantung saya adalah untuk Pavitra. Saya sangat rindukan dia dan berharap dapat berada di sisinya,” katanya.
Hubungan Eijaz dan Pavitra dilihat mesra ketika mereka sama-sama terlibat dalam “Bigg Boss 14” dan Pavitra juga tidak menyembunyikan perasaannya terhadap Eijaz.
(Sumber foto: Times of India & Pinkvilla)