Tidak dapat dinafikan persahabatan antara pelawak Johnny Lever dan bintang terkemuka Bollywood Shah Rukh Khan amat akrab memandangkan sudah acap kali mereka bekerjasama dalam filem.

Johnny atau nama sebenarnya John Prakash Rao Janumala, pernah menceritakan pengalaman ketika perlu memfilemkan babak komedi dalam keadaan emosinya tidak stabil akibat masalah peribadi.

Namun begitu, Johnny bersyukur kerana pada ketika itu juga Shah Rukh Khan berada di sisinya untuk menenangkannya sehingga dia mampu meneruskan penggambaran tersebut.

"Pernah ada waktu ketika saya berdepan masalah-masalah peribadi dan saya perlu memfilemkan babak komedi. Ketika itu bapa saya perlu menjalani pembedahan dan fikiran saya agak terganggu.

"Namun saya masih perlu meneruskan penggambaran babak tersebut. Saya cuba elakkan masalah peribadi mengganggu kerja saya, jadi saya tak luahkan perasaan saya kepada sesiapa pun.

"Saya tak tahu macam mana, tetapi Shah Rukh Khan masuk ke bilik yang saya sedang duduk dan dia tahu keadaan bapa saya serta bertanyakan tentangnya.

"Saya cuba menolak tepi masalah itu tetapi dia terus berkata jika saya perlukan apa-apa, boleh terus beritahunya. Perkara ini berlaku ketika penggambaran filem "Badshah"," katanya yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Selain "Badshah", antara filem yang menyaksikan kerjasama antara Johnny dan Shah Rukh Khan ialah "Baazigar", "Karan Arjun", "Kuch Kuch Hota Hai", "Kabhi Khushi Kabhie Gham" dan "Yes Boss".

Dalam perkembangan lain, Johnny bakal muncul dalam filem komedi "Coolie No. 1" bersama pelakon-pelakon gandingannya, Varun Dhawan dan Sara Ali Khan pada 25 Disember ini.

(Sumber foto: NDTV Movies)