Drama Korea sentiasa mencipta fenomena dalam kalangan peminat dan percaya atau tidak, bintang Bollywood Kajol Devgn juga mengakui bahawa dia adalah salah seorang peminat Kdrama.

Memetik laporan dari Pinkvilla, Kajol mendedahkan dia tidak ketinggalan untuk menonton drama “Crash Landing On You” lakonan aktor Korea Selatan Hyun Bin dan aktres Son Ye-jin yang menjadi buah mulut ramai pada tahun lalu.

“Saya merasakan drama Korea sangat menghiburkan. Saya sukakan estetiknya. Drama pertama yang saya tonton adalah “Crash Landing On You” dan ia menjadi salah satu drama kegemaran saya.

“Saya juga merasakan idea kisah cinta Korea Utara dan Korea Selatan dalam drama itu sangat menarik dan mereka telah jayakannya dengan baik. Ideanya sangat hebat,” katanya. Baru-baru ini agensi kepada kedua-dua pelakon utama drama “Crash Landing On You” mengesahkan pasangan itu sedang bercinta sesudah selesai siaran drama tersebut.

Beralih ke perkembangan lain, Kajol bakal muncul dalam filem “Tribhanga - Tedhi Medhi Crazy” yang akan ditayangkan menerusi sebuah platform penstriman video terkenal pada 15 Januari ini. Diarahkan oleh Renuka Shahane, “Tribhanga” memaparkan kisah tiga wanita berbeza generasi, Anu, Nayan dan Masha, yang menjalani hidup mereka mengikut kehendak masing-masing.

Selain Kajol, filem itu turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Tanvi Azmi, Mithila Palkar, Kunaal Roy Kapur, Vaibhav Tatwawaadi, Manav Gohil dan ramai lagi.

(Sumber foto: Kajol Instagram & Wikipedia)