Pertama kali dipilih untuk membintangi filem pendek, aktres Kajol meluahkan rasa terujanya kerana berpeluang menerajui filem pendek drama suspen arahan debut Priyanka Banerjee berjudul "Devi".

"Saya rasa tidak ada naskhah lain yang saya akan pilih sebagai filem pendek pertama saya selain "Devi". Ia sebuah filem yang menyentuh hati, sesuatu yang perlu dikongsi di seluruh dunia pada masa kini.

"Watak saya, Jyodi, mempunyai keunikannya tersendiri, tetapi ia banyak berkait rapat dengan diri saya. Filem seperti "Devi" adalah sangat relevan untuk ditayangkan pada ketika isu diskriminasi jantina, penderaan dan keganasan sedang berleluasa.

"Saya berasa senang hati dan berbangga dapat terlibat sama dalam filem ini," ujarnya seperti yang dilaporkan oleh India Today.

Selain Kajol, filem itu turut dibintangi oleh barisan aktres lain seperti Shruti Haasan, Neha Dupia, Neena Kulkarni, Mukta Barve, Shivani Raghuvanshi, Yashaswini Dayama, Sandhya Mhatre dan Rama Joshi.

"Devi" berkisarkan tentang sembilan orang wanita berbeza latar belakang yang ditindas dan berdepan dilema yang sama, berkongsi setiap kisah masing-masing di dalam sebuah bilik kecil.

Diterbitkan oleh Electric Apples Entertainment, filem pendek berdurasi 13 minit itu kini boleh ditonton di saluran YouTube sejak 2 Mac 2020.

Kali terakhir Kajol dilihat berlakon di layar perak adalah menerusi filem aksi sejarah "Tanhaji: The Unsung Warrior" yang turut dibintangi suaminya Ajay Devgn dan Saif Ali Khan.

Selain itu, Kajol turut membintangi sebuah filem bertemakan kekeluargaan terbitan Ajay iaitu "Tribhanga", yang bakal ditayangkan secara eksklusif di portal penstriman video Netflix.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber: India Today)
(Sumber foto: Photo Tadka)