Sehingga kini keluarga aktor Sushant Singh Rajput masih meratapi pemergiannya pada Ahad lalu dan kakak iparnya dilaporkan meninggal dunia pada petang Isnin di kediamannya di Bihar.

Seperti yang dilaporkan oleh The New Indian Express, wanita bernama Sudha Devi itu merupakan isteri kepada sepupu Sushant, Amrendra Singh, yang tidak sedarkan diri sejurus mendengar berita kematian Sushant.

Dedah seorang sepupu Sushant, Panna Singh, Sudha juga merupakan seorang pesakit kanser hati dan enggan menjamah makanan kerana terlalu sedih sebelum seharian tidak sedarkan diri.

Tambah Panna lagi, Sushant adalah seorang periang dan sangat rapat dengan keluarganya, serta sering datang melawat mereka di kampung halaman. Malah peribadinya juga disenangi oleh penduduk kampung itu.

"Saya tak pernah melihat dia bersedih. Dia sering mengekalkan senyuman di wajahnya, dan kami selalu bertemu. Kampung kami sedang meratapi pemergiannya," ujar salah seorang penduduk kampung tersebut.

Mayat Sushant yang dibawa dari Hospital Cooper, Mumbai, telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Pawan Hans, Vile Parle. Majlis pengebumiannya telah dihadiri keluarga serta rakan-rakan selebriti.

Sushant telah ditemui meninggal dunia di kediamannya pada Ahad lalu akibat bunuh diri kerana mengalami kemurungan dan tekanan hidup selama lebih enam bulan.

(Sumber: The New Indian Express)
(Sumber foto: Jakpost)