Pemergian aktor Sushant Singh Rajput pastinya meninggalkan kesan mendalam buat keluarga mendiang, termasuk kakaknya Shweta Singh Kirti yang memberi 'tribute' terakhir.

Shweta, yang menetap di California, Amerika Syarikat, telah mencurahkan kasih sayang terhadap adik kesayangannya menerusi surat terbuka yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

"Mera baby, mera Babu, mera Bachcha, tidak lagi bersama kami dan ia tidak mengapa... Saya tahu awak berada dalam keperitan dan saya tahu awak seorang pejuang dan berani melawannya.

"Minta maaf mera Sona... maaf kerana semua keperitan yang terpaksa awak lalui... Kalau boleh saya sudah ambil semua keperitan awak dan beri kebahagiaan saya kepada awak.

"Mata awak yang bersinar mengajar dunia bagaimana untuk bermimpi, senyuman awak membuktikan kesucian hati awak. Awak akan sentiasa disayangi tak kira di mana pun awak berada," tulisnya yang dipetik dari Hindustan Times.

Terdahulu, Shweta turut memuat naik perkongsian mengenai bagaimana dia memberitahu anaknya yang berusia lima tahun bahawa pakciknya sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Shweta yang baru tiba di kampung halamannya di Patna, meminta orang ramai dan para peminat untuk terus mendoakan kesejahteraan dan memperingati Sushant.

Seperti yang dilaporkan, Sushant ditemui meninggal dunia di kediamannya pada Ahad lalu akibat bunuh diri kerana disyaki mengalami kemurungan selama enam bulan.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Zoom TV)