Setelah berdiam diri, aktres Bollywood Kangana Ranaut akhirnya tampil memberi reaksi terhadap isu berhubung mesej aplikasi Whatsapp pembaca berita Arnab Goswami yang tular di media sosial.

Menerusi mesej yang mempunyai 500 muka surat itu, Kangana didakwa menghidap gangguan mental Schizophrenia.

Lebih memburukkan keadaan, Arnab turut mendakwa aktres itu obses terhadap bekas teman lelakinya yang juga aktor terkenal, Hrithik Roshan, dari segi seksual.

Memetik laporan dari The Quint, Kangana yang terkenal dengan mulut lantangnya telah membalas ciapan seorang pengguna Twitter yang menuduhnya menimbulkan kacau bilau apabila bersuara tentang kontroversi siri "Tandav".

"Rohini, orang kelas atasan tak akan bercakap tentang perkara remeh, hanya orang yang remeh akan bercakap tentang perkara remeh. Ikut sahaja apa awak mahu, mari bergosip sedikit.

"Arnab telah memberitahu apa yang Hrithik kata kepadanya. Saya bertemunya buat pertama kali pada 2019, dan dia malu dengan temu bualnya bersama Hrithik pada 2017. Faham?

"Awak mahu gosip lagi? Kenapa Hrithik berkata begini, kenapa hubungan kami keruh, bagaimana Arnab menjadi kawan saya selepas dia berkawan dengan Hrithik?" soalnya.

Tambah aktres filem "Queen" itu lagi, gosip-gosip sebegitu adalah punca utama kepada ketidakseharmonian yang berlaku dalam negaranya.

Menutup kenyataannya, Kangana meminta pengguna Twitter itu untuk berhenti membaca emel dan mesej yang dibocorkan di media sosial seperti sedemikian.

(Sumber foto: Times of India)