Aktres Kangana Ranaut yang sering terpalit dengan pelbagai kontroversi mendedahkan bahawa dia pernah digertak oleh aktivis politik dan penyair Javed Akhtar susulan kontroversinya bersama aktor Hrithik Roshan.

Menurut Kangana, Javed pernah menghubungi dan menyuruhnya datang ke rumah aktivis itu, di mana dia kemudiannya memberitahu bahawa Rakesh Roshan dan keluarganya merupakan orang-orang ternama.

"Jika awak tidak memohon maaf daripada mereka, awak tak boleh lari ke mana-mana. Mereka akan sumbat awak dalam penjara, dan mungkin, satu-satunya jalan untuk keluar dari masalah itu... awak akan bunuh diri.

"Itulah perkataan yang keluar dari mulutnya. Kenapa dia sangka jika saya tidak mohon maaf daripada Hrithik Roshan, saya akan bunuh diri? Dia telah menengking saya. Jujur saya terketar-ketar ketika berada di rumahnya," ujar Kangana yang dipetik dari iDiva.

Buat pengetahuan lanjut, kontroversi mengenai Kangana dan Hrithik timbul selepas mereka membintangi filem "Krrish 3". Para peminat mula membuat spekulasi bahawa hubungan mereka tidak lama memandangkan ketika itu Hrithik masih berstatus suami kepada Sussanne Khan.

Kedua-dua mereka berdiam diri sehinggalah Kangana membuka mulut dalam sebuah temubual dan mengatakan Hrithik adalah bekas kekasihnya. Malah dia turut memberitahu Hrithik merupakan punca dia dikeluarkan dari filem "Aashiqui 3".

Walau bagaimanapun, Hrithik telah menafikan perkara tersebut dan sejak itu, hubungan mereka, termasuk keluarga, tidak lagi sehaluan dan bermulalah perang dingin yang tiada akhirnya.

Hrithik juga pernah menghantar notis undang-undang meminta Kangana memohon maaf atas kenyataannya dan membersihkan nama mereka, namun ia tidak diendahkan oleh aktres tersebut.

Dalam perkembangan baru, Kangana dilihat telah menghentam industri perfileman Bollywood yang sekian lama terikat dengan isu nepotisme susulan kematian aktor Sushant Singh Rajput.

Beralih ke perkembangan karier, Kangana yang kali terakhir dilihat berlakon dalam "Panga", bakal kembali dengan dua buah filem terbarunya iaitu "Thalaivi" dan "Dhaakad".

(Sumber: iDiva)
(Sumber foto: ABP Live, Femina & Stackpath)