Bintang Bollywood Kangana Ranaut yang kini sedang terlibat dengan penggambaran filem di Hyderabad, India, teruja kerana berpeluang untuk bertemu dengan bintang veteran Sanjay Dutt di sana.

Menurut Kangana di perkongsian menerusi laman Twitter miliknya, dia tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri keadaan Sanjay yang disahkan bebas sepenuhnya dari kanser sejak Oktober lalu.

"Apabila saya dapat tahu kami menyewa hotel yang sama di Hyderabad, saya terus berjumpa Encik Sanju (Sanjay) pagi ini untuk melihat tahap kesihatannya.

"Saya terkejut apabila mendapati dia kelihatan lebih kacak dan sihat. Kami doakan semoga kamu panjang umur dan sentiasa berada dalam keadaan sihat," tulis Kangana dalam perkongsiannya.

Biarpun perkongsian Kangana menerima pelbagai reaksi positif daripada para peminat, namun terdapat segelintir warganet yang mengecam dan menggelarnya hipokrit.

Ia susulan Sanjay pernah mencetuskan kontroversi sebagai penagih dadah suatu masa dahulu, manakala Kangana pula dilihat sering memerangi gejala dadah dan isu-isu berat dalam industri Bollywood.

Walau bagaimanapun, setakat ini Kangana masih belum tampil untuk membidas kecaman-kecaman yang dilemparkan oleh warganet kepadanya.

(Sumber foto: Kangana Ranaut Twitter)