Aktres berbakat Kangana Ranaut kini melebarkan kariernya dalam bidang seni sebagai seorang penerbit dan bakal menghasilkan filem pertamanya "Aparajitha Ayodhya" pada tahun hadapan.

Menurut Kangana, dia lebih tertarik untuk menghasilkan karya filem mengenai topik-topik yang jarang dibincangkan oleh orang ramai seperti kes mahkamah Ayodhya Ram Mandir tersebut.

"Kuil Ram merupakan topik terkenal yang sudah dibicarakan selama beratus-ratus tahun. Sebagai anak yang lahir pada zaman 80-an, saya membesar dengan mendengar nama Ayodhya dari sudut yang negatif.

"Kes itu telah mengubah politik India dan keputusannya juga berjaya menamatkan perselisihan yang berabad-abad lamanya," tambah Kangana lagi yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Biarpun pelbagai dokumentari telah dikeluarkan mengenai topik itu pada sebelum ini, Kangana memberitahu kelainan yang ada dalam filemnya adalah watak protagonis yang berubah pandangan dan mempunyai kepercayaan sendiri.

"Dalam masa yang sama, ia turut mencerminkan pengalaman dan perjalanan peribadi saya sendiri, jadi saya putuskan ia merupakan sebuah subjek yang paling sesuai untuk filem pertama terbitan saya," katanya.

Skrip filem itu ditulis oleh KV Vijayendra Prasad dan sesi produksi berserta penggambaran akan dimulakan pada tahun hadapan di bawah syarikat produksi Kangana, Manikarnika Films.

Untuk rekod, Kangana telah membuat debut sebagai pengarah menerusi filem sejarah "Manikarnika: The Queen of Jhansi" terbitan Zee Studios yang ditayangkan pada 25 Januari lalu.

Filem itu telah berjaya tercalon untuk bertanding di Festival Filem Fantastik Antarabangsa Bucheon yang berlangsung pada 27 Jun hingga 7 Julai tahun ini di Korea Selatan.

(Sumber foto: Pinkvilla)

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)