Pembikin filem Karan Johar mengumumkan bahawa dia bakal menerbitkan filem "Dear Comrade" dalam versi Hindi walaupun filem itu belum ditayangkan secara rasmi.

Selepas menghadiri tayangan istimewa filem Telugu itu, Karan mengambil peluang untuk memuji seluruh kru produksi dan bintang utamanya, Vijay Devarakonda atas hasil karya mereka.

Karan turut memuat naik foto bersama orang-orang penting filem itu menerusi laman Instagram dan Twitter miliknya dengan kapsyen menyatakan dia bakal membikin 'remake' filem tersebut.

Berdasarkan laporan dari The Indian Express, Karan memberi ulasan bahawa filem penuh emosi itu akan menyampaikan mesej penting dan relevan buat para penonton.

"Dear Comrade" menandakan debut Bharat Kamma sebagai pengarah dan diterbitkan oleh Yash Rangineni di bawah syarikat produksi Mythri Movie Makers.

Selain Vijay, filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Mathiventhan Setharaman dan Rashmika Mandanna sebagai peneraju utama sementara Shruti Ramachandran membawa watak sampingan.

Dalam pada itu, Vijay menyatakan "Dear Comrade" bukanlah sebuah filem berunsurkan politik, sebaliknya ia merujuk kepada perjuangan untuk mempertahankan hak manusia.

Ini merupakan filem kedua Vijay yang dibikin semula dalam versi Hindi selepas "Arjun Reddy". Judul bagi 'remake' filem itu adalah "Kabir Singh" di mana ia menampilkan Shahid Kapoor dan Kiara Advani sebagai watak utama.

"Dear Comrade" akan ditayangkan bermula 26 Julai ini dalam empat versi iaitu Telugu, Tamil, Malayalam dan Kannada.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: The Indian Express)
(Sumber foto: Elle India)