Pandemik wabak COVID-19 seperti yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menjejaskan industri perfileman di seluruh dunia buat masa ini.

Sehubungan dengan itu, pembikin filem terkenal Karan Johar turut mengambil langkah berwaspada dengan mengumumkan penangguhan segala produksi dan pentadbiran Dharma Productions buat sementara waktu.

"Berikutan penularan pandemik virus COVID-19 di seluruh dunia termasuk India, kami di Dharma Productions telah menangguhkan semua urusan pentadbiran dan produksi sehingga diberitahu kelak.

"Keputusan ini telah dibuat bagi memastikan keselamatan semua pihak dan kami mematuhi segala langkah berjaga-jaga yang dicadangkan oleh kerajaan bagi mengurangkan risiko pendedahan wabak ini kepada para pelakon, kru, pekerja dan penonton kami.

"Kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk semua dan semoga kekal tabah dalam menghadapi krisis kesihatan global yang sedang berlaku ini," ujarnya seperti yang diumumkan menerusi laman sosial.

Susulan itu, filem terbitan Karan iaitu "Sooryavanshi" telah ditunda tayangannya ke suatu tarikh baru yang bakal diumumkan. Filem arahan Rohit Shetty itu dibintangi oleh Akshay Kumar.

Selain itu, jadual penggambaran terakhir bagi filem aksi adiwiranya "Brahmastra" yang berlangsung di Mumbai juga dilaporkan terpaksa ditunda sehingga April bagi mengelakkan segala risiko.

Beralih ke perkembangan lain, baru-baru ini Karan telah merilis filem baru terbitannya berjudul "Guilty" di portal penstriman video Netflix.

Filem arahan Ruchi Narain itu dibintangi oleh barisan pelakon seperti Kiara Advani, Akansha Ranjan Kapoor, Gurfateh Singh Pirzada, Taher Shabbir, Dalip Tahil dan ramai lagi.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Karan Johar Instagram)