Pembikin filem Karan Johar mencetuskan buah mulut orang ramai apabila dia menyuarakan hasrat untuk kembali berlakon menerusi laman Instagram baru-baru ini.

"Saya tahu lakonan saya lebih menakutkan daripada situasi virus ini tetapi tidak salah jika saya berharap untuk peluang kedua!

"Jadi kepada pengarah-pengarah uji bakat lakonan, para pembikin filem, para pengkritik filem dan para penonton semua, saya ingin membuat satu pengumuman!

"Saya kini terbuka untuk membawa watak bapa! (Pada usia 48 tahun saya percaya bahawa saya tak boleh bersikap memilih)," tulisnya dalam sebuah entri yang diselitkan dengan sedikit gurauan.

Buat pengetahuan lanjut, sebelum ini Karan atau lebih dikenali sebagai KJo, pernah membuat penampilan cameo sebagai dirinya sendiri dalam filem "Om Shanti Om" (2008), "Fashion" (2008) dan "Luck by Chance" (2009).

Filem debut untuk lakonan sepenuhnya adalah filem thriller jenayah terbitan Anurag Kashyap berjudul "Bombay Velvet" (2015), yang mana dia menjayakan watak antagonis utama Kaizad Khambatta.

Kali terakhir KJo dilihat berlakon adalah menerusi filem "Welcome To New York" (2018) sebelum membuat kemunculan istimewa dalam klip lagu "Chandigarh Mein" filem "Good Newwz" (2019).

Pengumuman mengejut KJo itu telah menarik perhatian ramai peminat serta rakan-rakan selebriti seperti Anil Kapoor, Kajol, Ali Fazal, Kriti Sanon dan ramai lagi yang rata-rata menyokong keputusannya untuk kembali berlakon.

(Sumber: Karan Johar Instagram)
(Sumber foto: Karan Johar Instagram)