Pembikin filem tersohor Karan Johar mengumumkan berita baik buat para peminat iaitu kolaborasinya dengan penyanyi pop Amerika, Lauv, bagi sebuah lagu dalam filem "Good Newwz".

Sehubungan dengan itu, Times of India melaporkan bahawa Lauv akan bekerjasama dengan komposer muzik India Rochak Kohli bagi menghasilkan lagu tersebut.

"Saya teruja untuk mengumumkan bahawa saya telah berkolaborasi bagi sebuah lagu filem Bollywood "Good Newwz" bersama Rochak Kohli.

"Ini merupakan kolaborasi Bollywood pertama saya dan saya sangat berbesar hati untuk sama-sama terlibat dengan filem ini," ujar Lauv menerusi entri yang dimuat naik di laman Twitter miliknya.

Sementara itu, Karan yang dikenali ramai dengan nama KJo, turut memuat naik status di Twitter yang menyatakan dia tidak sabar untuk orang ramai mendengar lagu tersebut.

"Good Newwz" merupakan filem komedi arahan Raj Mehta yang menampilkan gabungan pelakon-pelakon hebat iaitu Akshay Kumar, Kareena Kapoor Khan, Diljit Dosanjh dan Kiara Advani.

Lagu itu akan dirilis bersama filem berkenaan di pawagam pada 27 Disember ini.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Karan Johar Instagram & Wonderland Magazine)
(Sumber artikel: Times of India)