Pembikin filem tersohor Karan Johar bakal berangkat ke beberapa lokasi di Eropah pada 18 Januari bagi membuat peninjauan lokasi penggambaran filem sejarah arahannya "Takht".

"Karan merancang untuk melakukan tinjauan terakhir sepanjang Januari dan akan meneroka lokasi serupa landskap Rajasthan di beberapa negara serata Eropah termasuk Itali dan Perancis.

"Set-set penggambaran yang besar akan didirikan di Jaisalmer dan Eropah, yang memerlukan kos tinggi seperti yang diperuntukkan," dedah satu sumber yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Sebelum ini, Karan telah meninjau kawasan di Jaisalmer dan beberapa lokasi lain di India bersama pakar sinematografi Mitesh Mirchandani, pengarah seni Sabu Cyril dan para pembantunya selama lima hari.

Setakat ini, pihak produksi telah memuktamadkan babak-babak aksi yang melibatkan pertempuran berserta kostum memandangkan sesi penggambaran akan bermula pada Mac.

"Mereka akan mengadakan beberapa bengkel latihan pada Februari bersama barisan pelakon untuk menghayati watak masing-masing sebelum mula 'bertempur'," tambah sumber itu lagi.

Barisan pelakon yang bakal menjayakan filem epik itu ialah Ranveer Singh, Vicky Kaushal, Kareena Kapoor Khan, Bhumi Pednekar, Alia Bhatt, Janhvi Kapoor dan Anil Kapoor.

Diterbitkan oleh Hiroo Yash Johar dan Apoorva Mehta, filem "Takht" akan ditayangkan di pawagam pada 2021.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Peacock Magazine)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)