Setelah lapan tahun sejak buku pertamanya "The Style Diary of a Bollywood Diva" diterbitkan, kini bintang Bollywood Kareena Kapoor Khan mengumumkan penerbitan buku tentang kehamilannya pada tahun hadapan.

Buku yang diberi judul "Kareena Kapoor Khan's Pregnancy Bible" itu ditulis khas buat para ibu yang mengandung dan menantikan kelahiran cahaya mata, di mana Kareena berkongsikan pelbagai panduan berguna.

A post shared by Kareena Kapoor Khan (@kareenakapoorkhan)

Buku itu akan menghuraikan pelbagai aspek penting dalam kehamilan serta beberapa 'tips' daripada Kareena berhubung cara menjaga diet, 'morning sickness', kesihatan, senaman ibu-ibu mengandung dan macam-macam lagi.

"Saya percaya kehamilan adalah satu proses semula jadi di mana kita patut kekal aktif, sihat dan gembira. Dalam buku ini saya akan memberitahu anda bagaimana saya menjaga kehamilan saya.

"Selain itu, saya juga akan berkongsi segala maklumat yang anda perlukan untuk anda kekal gembira dengan kehamilan anda sendiri.

"Subjek ini sangat bermakna buat saya dan saya berharap dapat menerbitkan sebuah buku yang dapat membantu dan memberi panduan kepada wanita-wanita lain," katanya.

Diterbitkan oleh syarikat penerbitan Juggernaut Books, "Kareena Kapoor Khan's Pregnancy Bible" akan mula dijual pada 2021.

(Sumber foto: Vogue India)