Sekian lama menjalin hubungan cinta dengan Natasha Dalal, akhirnya bintang Bollywood Varun Dhawan dikatakan sudah mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya itu.

Biarpun Varun belum memaklumkan perkara itu secara umum, namun ianya telah didedahkan oleh bintang terkenal Kareena Kapoor Khan menerusi rancangan bual bicaranya, "What Women Want".

Varun yang hadir sebagai tetamu jemputan menceritakan soal cinta dan kisah peribadinya bersama Natasha, di mana mereka mengenali sesama sendiri ketika masih bersekolah.

Dalam sebuah segmen rancangan itu, Kareena dilihat merujuk Natasha sebagai tunang kepada Varun, sekali gus mengesahkan bahawa pasangan itu bakal berkahwin tidak lama lagi.

Disoal mengenai soal perkahwinan, aktor filem "Kalank" itu tidak menolak untuk membawa hubungannya ke tahap yang lebih serius selepas melihat perkahwinan abangnya.

"Perkahwinan hadir selepas kamu sudah menjalin hubungan dengan seseorang untuk tempoh lama. Saya teringin untuk berkahwin selepas melihat abang dan kakak ipar saya. Apabila saya lihat anak buah saya Niara, saya rasa ini satu keputusan yang bagus.

"Saya dan Natasha tak kisah jika kami tinggal sebumbung namun ibu bapa saya ingin melihat kami berkahwin kerana saya sudah mempunyai kediaman sendiri," katanya.

Terdahulu, terdapat laporan mengatakan pasangan itu akan melangsungkan perkahwinan di Thailand pada tahun ini, namun perancangan mereka terpaksa ditunda akibat COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Varun bakal muncul dalam filem komedi 'remake' "Coolie No. 1" yang diarahkan oleh bapanya David Dhawan. Filem itu akan ditayangkan di sebuah platform penstriman video.

Selain itu, Varun kini terlibat dengan penggambaran filem romantik "Jug Jugg Jeeyo" arahan Raj Mehta. Filem itu turut dibintangi oleh Anil Kapoor, Neetu Kapoor dan Kiara Advani.

(Sumber foto: Zee News)