Yami Gautam mendalami wataknya mengikut pengalaman sebenar sebagai model.

Yami Gautam mengakui bahawa kerjayanya sebagai model banyak membantu untuk menjayakan watak yang dipegang dalam filem "Bala".

Menerusi filem yang dinanti-nantikan itu, Yami berperanan sebagai model di mana dia akan berganding dengan aktor Ayushmann Khurrana.

Sebelum terlibat dalam bidang lakonan, aktres ini telah menceburi dunia permodelan dan menjadi duta jenama terkenal di India.

Pengalaman sebagai model dalam dunia sebenar membuatkan Yami tidak kekok untuk mendalami watak serta menjalani penggambaran dengan lancar.

"Saya akan melakonkan watak seorang model popular dari bandar Lucknow. Berbeza dari watak-watak yang saya bawakan di layar lebar sebelum ini, karakter saya adalah seorang model tempatan yang terkenal di bandar itu.

"Terdapat banyak situasi yang boleh saya kaitkan dengan karakter saya walaupun ia jauh berbeza dengan pengalaman sebenar saya," ujar Yami menerusi laporan dipetik dari EasternEye.

Tambahnya lagi, satu-satunya persamaan dengan wataknya adalah pengetahuan asas tentang bidang permodelan.

Yami turut berasa teruja kerana dapat membawa watak yang sama dengan kariernya buat kali pertama dalam sebuah filem.

Diarahkan oleh Amar Kaushik yang mengarah filem "Stree", "Bala" turut menampilkan aktres terkenal Bhumi Pednekar sebagai peneraju utama.

Filem itu bakal ditayangkan di layar lebar pada 22 November 2019.

(Sumber artikel: Eastern Eye)

(Sumber foto: DNA India)